HAJAT Ulsan Hyundai untuk meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC tidak kesampaian apabila terikat 1-1 menentang Kawasaki Frontale pada aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin, Jumaat.
Kesilapan penjaga gol Ulsan pada masa kecederaan membolehkan Kawasaki mencuri satu mata dalam perlawanan yang menemukan pendahulu Liga Korea Selatan dan Liga Jepun itu.
Selepas beberapa percubaan ditujukan ke kubu Kawasaki, akhirnya Leonardo Nascimento Lopes de Souza berjaya membuka jaringan pada minit ke-21 menewaskan penjaga gol Kawasaki Frontale.
Selepas jaringan itu, Ulsan lebih banyak menguasai permainan dengan sesekali Kawasaki Frontale cuba menguji barisan pertahanan skuad Korea itu namun gagal memecah kebuntuan untuk keputusan separuh masa pertama kekal 1-0.
Penjaga gol Ulsan, Hyeon-woo nyata mempunyai dua watak dalam perlawanan ini apabila begitu tangkas menghalang gawang daripada dibolosi tetapi segalanya berubah pada masa kecederaan.
Beliau yang gagal menangkap kemas ketika sepakan penjuru memberikan ruang buat pemain gantian, Shintaru Kurumaya untuk menolak masuk bola sekali gus untuk memastikan perlawanan berkesudahan terikat 1-1.
Kekecewaan jelas terlihat di wajah pemain Ulsan dan kini mereka akan bertemu tuan rumah Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 April untuk cuba mencari kemenangan sulung manakala Kawasaki Frontale pula akan berhadapan skuad muda Guangzhou FC di Stadium Larkin.