NG Tze Yong terpaksa melupakan dua lagi kejohanan di bulan Januari, selepas doktor Institut Sukan Negara mengesahkan pemain perseorangan utama Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu perlu berehat selama tiga minggu.
Pengesahan Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme yang merawat pemain berusia 24 tahun itu, dibuat selepas ujian ultrasound yang dilakukan hari ini, mendapati Tze Yong mengalami kecederaan otot tulang belakang dan memerlukan tempoh dua hingga tiga minggu untuk pulih sepenuhnya.
Keputusan imbasan itu nampaknya membantutkan perjuangan Tze Yong bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terpaksa melupakan aksi di Terbuka India (16 hingga 21 Januari) dan Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari), selepas mengalami kecederaan belakang ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, Rabu lalu.
Justeru, Dr Jasmiza telah menasihatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya tidak menghantar pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu daripada menyertai saingan Terbuka India dan Masters Indonesia bagi memastikan rawatan pemulihan tidak terganggu.
“Selepas ujian ultrasound dilakukan, kita mendapati Tze Yong mengalami kecederaan otot tulang belakang namun tahap kecederaannya boleh dikatakan minor (tidak serius).
“Sebagai langkah berjaga-jaga dan hasil perbincangan dengan BAM, kita bersetuju Tze Yong tidak menyertai Terbuka India dan Masters Indonesia bagi membolehkan dia menjalani rawatan dan proses pemulihan terlebih dahulu.
“Kita menjangkakan Tze Yong akan pulih sepenuhnya dan kembali berlatih seperti biasa dalam tempoh dua hingga tiga minggu,” katanya.
Dr Jasmiza yang juga pasukan perubatan Program Road to Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Paris 2024 berkata, pihaknya akan merangka program pemulihan mengikut kesesuaian dan perkembangan kecederaan yang dialami pemain berkenaan.
“Dalam tempoh dua hari ini, Tze Yong berehat sepenuhnya dan hari ini kita tengok ada perkembangan positif, tahap kesakitannya sudah berkurangan.
“Jadi, untuk dua hingga tiga minggu akan datang, kita fokus untuk proses pemulihan dan menguatkan otot tulang belakangnya semula. Kita akan menyusun program pemulihan mengikut tahap kesakitan yang dialaminya bagi memastikan tahap kecergasannya tidak menurun,” katanya.
Ketika menentang pemain Jepun, Koko Watanabe di pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024, Tze Yong secara tiba-tiba tidak dapat melakukan pergerakan besar kerana kesakitan dialami selepas melakukan smash pada kedudukan 7-7.
Tze Yong yang kini di ranking ke-13 senarai kelayakan ke Sukan Olimpik Paris, dua tangga di belakang pemain profesional, Lee Zii Jia.
Setiap negara boleh mempunyai maksimum dua wakil dalam acara perseorangan lelaki sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan pada hujung April depan.