GAGAL mengekalkan fokus di setiap rali meranapkan harapan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk mara lebih jauh di Terbuka Malaysia 2024, apabila tewas di tangan juara dunia Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Kekalahan 21-16, 18-21, 13-21 kepada pasangan Korea itu menyaksikan hasrat gandingan negara mengulangi pencapaian terbaik ke separuh akhir pada 2022, tidak kesampaian.
Menurut Aaron, permulaan baik di set pertama yang menyaksikan mereka bangkit dari ketinggalan 13-15 hingga memenangi perlawanan dengan 21-16, gagal diteruskan pada set kedua.
“Pada set kedua mungkin kami terlalu teruja kerana hati hendak menang sangat, jadi fokus strategi permainan itu mula lari,” kata Aaron, dengan nada kecewa tersingkir di suku akhir.
Sementara itu, Wooi Yik mengakui rehat permainan di set ketiga menjadi detik kebangkitan Min Hyuk-Seung Jae.
Aaron-Wooi Yik mendahului 10-8 dipintas 10-11 sebelum memberikan lawan mendahului 10-15, menjejaskan fokus mereka.
“Rali itu sangat penting kepada kedua-dua pasangan, tetapi mereka (Mmin Hyuk-Seung Jae) lebih fokus dan sebaik mereka mendapat mata berturut-turut, mereka lebih yakin dan mengawal permainan sehingga kami pula lebih tertekan,” kata Wooi yik.
Meskipun tersingkir, Aaron-Wooi Yik berjaya memperbaiki pencapaian tahun lalu yang menyaksikan mereka terkandas di pusingan kedua.
Minggu depan, wakil negara itu akan beraksi di Terbuka India.