SEKALI lagi tiada pemain Malaysia merangkul kejuaraan di Terbuka Malaysia dan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memohon maaf serta mengambil tanggungjawab di atas kegagalan barisan pemain negara tahun ini.
Beliau berkata, memahami kekecewaan yang dialami peminat dan penaja atas kegagalan itu namun pihaknya dan pemain akan berusaha lebih baik lagi bagi menghadapi kejohanan seterusnya.
“Minggu depan ada Terbuka India (16 hingga 21 Januari) dan Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari).
“Saya harus berikan motivasi kepada jurulatih dan pemain supaya sedar kesilapan dan kekurangan diperbaiki.
“Cabar diri dan sentiasa katakan bahawa anda melakukannya dan berjuanglah dengan hati singa kerana setiap langkah bukanlah cara mudah untuk mencapai impian anda kerana setiap pemain di seluruh dunia mempunyai impian yang sama seperti anda,” tulis Rexy di laman Instagramnya, hari ini.
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, satu-satu wakil daripada kem kebangsaan yang berjaya mara sehingga suku akhir sebelum mereka tunduk di tangan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, malam tadi.
Sandaran negara yang lain termasuklah beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di tunjukkan jalan keluar masing-masing seawal pusingan pertama dan kedua.
Paling malang, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang hanya sempat beraksi selama 13 minit di pusingan pertama menentang pemain Jepun, Koki Watanabe sebelum menarik diri selepas mengalami kecederaan otot tulang belakang.
Kecederaan dialaminya itu turut menyaksikan dia terpaksa melupakan saingan Terbuka India dan Masters Indonesia bagi menjalani proses pemulihan.