PERJUANGAN skuad Harimau Malaya meneruskan langkah di pentas Piala Asia 2023 di Qatar masih lagi terbuka walaupun tipis selepas permulaan buruk dalam aksi pembukaan Kumpulan E.

Dalam aksi di Stadium Al Janoub pada Selasa, Malaysia tumbang 4-0 sekali gus menyukarkan hajat melangkah lebih jauh ke Pusingan 16 terbaik.

Jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon tetap berharap untuk bangkit menentang Bahrain pada perlawanan kedua pada Sabtu.

“Saya rasa tiada sesiapa tahu kami ada lagi dua permainan. Sudah tentu perlawanan ini adalah level yang bagus.

“Bahrain, Korea Selatan pada tahap terbaik tetapi kami masih ada peluang dan mesti belajar sesuatu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kekalahan Malaysia itu mengulangi rekod edisi 2007, tewas 1-5 dalam aksi pembukaan kepada China ketika menjadi tuan rumah bersama.

Sementara itu, jurulatih asal Korea Selatan tersebut akui kecewa dan memohon maaf buat peminat Harimau Malaya yang hadir beramai-ramai ke stadium.

“Tahniah kepada Jordan mereka mempamerkan prestasi yang baik malam ini dan mereka berhak menang kerana mereka lebih baik dari segi fizikal dan teknikal daripada kami.

“Saya minta maaf kepada penyokong Malaysia, kami menjangkakan untuk memberikan cabaran yang kuat tetapi tidak dapat mengekang mereka dan saya kesal.

“Kami perlu bangkit dengan cepat daripada kekalahan ini untuk menghadapi baki dua perlawanan.

“Tidak sepatutnya semua orang kecewa tetapi kita tidak boleh berputus asa dan berundur,” katanya.

Malaysia seterusnya menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hammad pada Sabtu sebelum menamatkan cabaran peringkat kumpulan menentang Korea Selatan 25 Januari.