MALAM serba tak menjadi skuad Harimau Malaya ketika dibelasah Jordan dan ianya diakui pemain sayap, Faisal Halim.

Menurut Faisal, dirinya beraksi di bawah tahap sebenar pada perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, awal pagi Selasa.

Malah, dia pun merasai kurang memberi impak kepada pasukan sepanjang permainan.

“Permainan kami serba tidak menjadi dari awal permainan malah analisis yang dilakukan ke atas pasukan Jordan sama sekali tidak membantu di mana lawan mengamalkan corak permainan berbeza.

“Sudah tentu saya tak berpuas hati, bukan kata saya saja, semua pemain yang bermain di padang dah tentu tak berpuas hati.

“Walaupun saya main bagus sekalipun, tapi kalau kita kalah pun tak guna jugak. Saya pun merasa kurang memberi impak malam ini, sebab sukar untuk kita dari segi corak permainan.

“Kita boleh kawal bola dan buat banyak hantaran, dan kawal permainan. Tapi untuk menyerang mereka juga dah jangka,” katanya ditemui pemberita selepas perlawanan.

Jordan memperoleh gol menerusi dua jaringan Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-12 dan 32, manakala dua gol lagi dihasilkan pemain kelab Montpellier, Mousa Al-Taamari m-18 dan m-85.

Mengulas lanjut, mutu permainan pasukan Malaysia sebenarnya masih lagi jauh jika dibandingkan dengan negara lain bertanding di Piala Asia 2023.

“Sudah tentu pemain-pemain semua, dengan kegugupan masing-masing kita cuba berikan terbaik.

“Kalau fikir balikkan, dalam Kelayakan Piala Dunia lawan Kyrgyzstan, India dan China, kita masih lagi boleh beri saingan.

“Tapi bila dekat Piala Asia ini, ‘level’ yang lebih jauh dan banyak lagi yang kita perlu belajar,” kata pemain lincah Selangor FC itu.

Malaysia kini miliki dua perlawanan iaitu berdepan Bahrain dan Korea Selatan untuk sekurang-kurangnya mencapai keputusan seri dan tidak membawa pulang mata kosong ke tanah air.

“Kita perlu usaha dulu dan buat sebaiknya untuk cuba membanggakan rakyat Malaysia,” akhirinya.