BARISAN pemain Thailand kini lebih kaya THB 3 juta apabila berjaya memenangi perlawanan pembukaan Kumpulan F Piala Asia 2023 selepas menewaskan Republik Krygyz 2-0 di Stadium Abdullah Bin Khalifa, Qatar pada Selasa.

Mereka menyahut cabaran yang dilontarkan Pengurus Pasukan Kebangsaan Thailand, Nualphan Lamsam yang menjanjikan bonus THB 1juta untuk setiap mata yang berjaya diperolehi ketika kempen Piala Asia.

Nualphan atau lebih popular dikenali sebagai Madam Pang sentiasa memberikan tawaran berupa bonus kewangan kepada pemain sekiranya mereka berjaya mengharumkan nama Thailand dalam arena bola sepak antarabangsa.

Thailand yang sebelum kejohanan dilihat sedikit bergelut dalam mempersiapkan pasukan hadir ke Doha sehari sebelum perlawanan dan tidak mempunyai masalah menunjukkan satu aksi yang berkualiti untuk mengutip tiga mata sekaligus mencerahkan peluang layak ke pusingan 16 terbaik.

Kemasukan pengendali baharu, Matasada Ishii menggantikan Mano Polking serta kecederaan dan keengganan beberapa pemain menyertai skuad Gajah Perang dilihat pada mulanya seakan membawa masalah buat Thailand di Qatar.

Namun dua gol dari Supachai Jaided sudah cukup untuk meletakkan Thailand kini mendahului Kumpulan F di hadapan Arab Saudi dan Oman dan Madam Pang nyata gembira dengan kejayaan ini.

“Tiga mata berharga dan semalam kita berjaya berikan senyuman kepada semua penyokong bola sepak Thailand di seluruh negara. Terima kasih atas keberanian yang ditunjukkan serta sokongan semua di tanah air. Mari berjuang untuk aksi seterusnya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook peribadinya.

Thailand kini akan bertemu Oman pada Ahad sebelum melengkapkan aksi Kumpulan F bertemu Arab Saudi dan berdasarkan aksi yang ditunjukkan, tidak mustahil skuad Gajah Perang ini dapat mengulangi pencapaian layak ke pusingan seterusnya seperti edisi 2019 yang lalu.