TONGGAK pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Shahrul Saad yang juga pemain skuad kebangsaan menelan kekecewaan tewas 4-0 pada aksi pembukaan Kumpulan E dalam kempen Piala Asia 2023 di Qatar.

Kekalahan itu sekali gus merencatkan segala perancangan untuk mengintai peluang ke Pusingan 16 buat pertama kali dalam sejarah kejohanan.

Mesra disapa Badak, bagaimanapun dirinya tetap mempertahankan taktikal pengendali negara, Kim Pan-gon yang dikritik hebat peminat susulan gagal meraih kemenangan seperti disasarkan.

“Kekalahan pertama itu sebenarnya agak kecewa buat pasukan Malaysia kerana dah lama kami lakukan persiapan dan mengharapkan satu persembahan serta keputusan yang baik menentang Jordan.

“Kami kalah bukan kerana tak beraksi baik, cumanya pasukan Jordan lebih bersedia.

“Dia tahu menggunakan kelemahan yang ada pada pasukan Malaysia. Apapun, kita harus terus positif berbaki lagi dua perlawanan ini. Tak ada jalan lain kita ada.

“Aksi menentang Bahrain adalah satu perlawanan penting untuk kami dan mengharapkan satu keputusan baik untuk bertahan dalam pertandingan Piala Asia 2023,” katanya kepada pemberita ketika ditemui ditemui di hotel penginapan pemain dekat Doha, Qatar pada Rabu.

Pada perlawanan sulung menentang Jordan pada 16 Januari, dua gol masing-masing oleh Mahmoud Al-Mardi dan Mousa Al-Taamari memberikan permulaan sempurna kepada Jordan, untuk mendahului saingan Kumpulan E, dengan berkongsi tiga mata bersama Korea Selatan di tempat kedua.

Manakala, Malaysia berada di kedudukan tercorot peringkat kumpulan serta bolos empat gol.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Perak yang membuat penampilan ke-55 untuk skuad Harimau Malaya berazam tidak mensia-siakan peluang dalam
membantu rakan-rakan mendapatkan mata pertama.

“Kemenanganlah paling utama bagi saya sebab kami tahu dah berapa lama kita berusaha untuk sampai ke tahap ini.

“Kalau diberikan pilihan untuk bermain, semestinya saya akan bagi yang terbaik dan kami akan berjuang untuk Malaysia,” katanya masuk menggantikan Darren Lok pada babak kedua.