PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan sasaran untuk mempertahan kejuaraan dua tahun lalu, apabila sekadar menyasarkan separuh akhir bagi berpasukan lelaki, di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam dari 13 hingga 18 Februari ini.

Sasaran awal itu ditetapkan sebelum Malaysia terutama pasukan lelaki memikirkan pelkuang memburu kejuaraan seterusnya mempertahankan gelaran diraih pada edisi dua tahun lalu di venue yang sama.

“Sekurang-kurangnya separuh akhir,” kata Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh kepada media selepas majlis sidang media BATC di Courtyard by Marriott, di Setia Alam.

BATC akan menjadi medan kelayakan ke Kejohanan Piala Thomas dan Uber yang dijadual berlangsung di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei depan.

“Saya fikir pada masa ini kita sasar berada dalam kelompok empat terbaik dulu. Saya percaya pasukan akan lihat ia sebagai satu proses. Adalah penting untuk kita layak secara merit… sudah pasti, kalau boleh kita nak (layak) secara merit,” kata Kenny.

BATC 2024 bakal menyaksikan penyertaan dari negara terbaik Asia seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia selain menjadi pentas buat pemain memburu mata ranking kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Kejohanan di bawah kendalian Badminton Asia itu bakal menyaksikan perebutan gelaran bagi acara berpasukan lelaki, membabitkan 15 pasukan dengan China, Jepun, Indonesia dan Malaysia diletakkan sebagai empat pasukan teratas diikuti India, Taiwan, Thailand, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu, Kazakhstan, Arab Saudi, Myanmar dan Brunei.

Dalam kategori wanita pula, 11 pasukan iaitu China, Jepun, Thailand, juara bertahan Indonesia sebagai pilihan, selain Taiwan, India, Malaysia, Hong Kong, China, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu dan Kazakhstan mengambil bahagian.

Dalam pada itu, Kenny mengumumkan yang Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sedang dalam proses penilaian pemain untuk menyertai BATC.

“Buat masa ini, masih dalam perbincangan. Rexy sebagai pengarah kejurulatihan mungkin ada perancangan, jadi kami masih menunggu daripadanya mengenai pemain yang akan beraksi di BATC nanti,” kata Kenny yang turut memberi bayangan senarai nama akhir akan dimuktamadkan sebelum 26 Januari ini.

Sebelum ini, Lee Zii Jia menerusi aplikasi X miliknya berkongsi kegembiraan dijemput BAM untuk memperkuat pasukan lelaki mempertahan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2022.

Malah, Rexy juga mengesahkan empat perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Zii Jia seabgai pemain perseorangan yang akan memperkuat pasukan lelaki manakala beregu lelaki belum diputuskan.