SEDAR kekuatan Bahrain pada level yang berbeza jika diukur dari segi ranking, pemain pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad memandang positif pertemuan kedua Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu.

Turun penuh keazaman selepas mudah dijinakkan Jordan dalam saingan pembukaan pembukaan, Shahrul berharap episod kekalahan tidak lagi berulang di pentas Piala Asia 2023 di Qatar.

“Kita hanya fokus apa yang perlu kita lakukan. Pasukan memang dalam keadaan mood yang tak berapa baik. Jadi, untuk aksi dengan Jordan nanti, mungkin gol awal boleh melonjakkan kembali pasukan.

“Mungkin ini plan yang kami inginkan dan kalau kita dapat menjaringkan gol awal, itu adalah semangat lebih untuk pasukan Malaysia sendiri.

“Saya mengharapkan sesuatu pasukan kita bertemu dengan Bahrain dan kami tak akan berputus asa,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

Tampil 55 kaps bersama skuad Harimau Malaya sejak debut 25 November 2015, Shahrul membayangkan penyertaan dirinya dalam pentas Piala Asia di Doha mungkin aksi terakhir atas faktor usia.

“Saya merasakan mungkin tahun ini adalah tahun terakhir saya bermain untuk kempen Piala Asia. Kita tak tahu lagi pada tahun akan datang dan umur saya pun bertambah. Saya tak pasti lagi keadaan macam mana. Kami berharap, selagi kami mampu, akan buat terbaik dalam pasukan ini,” ujarnya yang berketinggian 1.78 meter.

Malaysia berada di kedudukan tercorot Kumpulan E, perlu meraih kemenangan ke atas Bahrain jika ingin menghidupkan peluang mata ke Pusingan 16.

Korea Selatan menjadi lawan pelengkap pada pertemuan di Stadium Al Janoub, 25 Januari ini.