SELANGOR FC sah menjalin kerjasama rasmi bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) Holdings dalam suatu majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) di UPM, Serdang pada pagi Khamis.
Turut hadir sama adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman berkenaan cadangan pembangunan Tanah Arboretum UPM antara UPM Holdings dan Selangor FC.
Perkara ini telah diumumkan sendiri di laman media sosial rasmi Selangor FC.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kerjasama ini dapat membantu pihak Universiti untuk menjana pendapatan serta mewujudkan potensi baharu bagi pendanaan kewangan yang akan memberi manfaat kepada Universiti, Selangor FC serta komuniti setempat.
Terdahulu, Selangor FC juga telah menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat swasta mahupun kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan lagi mutu bola sepak Selangor.
Antara penaja-penaja yang masih kekal pada musim ini adalah seperti syarikat Daikin, Citadel, Aeon Big, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 100 Plus, Hijabista Hub dan banyak lagi.