KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan selesa dalam aksi pembuka tirai Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC apabila membelasah Guangzhou FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat.
Dua gol dari penyerang berbisa Bergson Da Silva pada minit ke 10 dan 28 dan satu gol sendiri oleh penjaga gol Guangzhou FC pada minit ke-13 menyaksikan JDT mendahului 3-0 pada babak pertama.
Guangzhou FC yang turun dengan barisan kedua akibat tetapan kuarantin oleh kerajaan China seakan tidak bermaya dan hanya mampu bertahan mengekang asakan JDT dari setiap sudut.
JDT mempamerkan aksi cemerlang dengan gandingan mantap Bergson, Forestieri dan Arif Aiman di bahagian hadapan manakala barisan tengah yang dikawal ketua pasukan Natxo Insa dilihat tenang melancarkan serangan dan ancaman.
Kubu JDT dilihat langsung tidak diuji dengan pemain-pemain Guangzhou FC lebih banyak bermain di kawasan sendiri dengan hanya satu percubaan jarak jauh oleh pemain penyerang He Shaolin.
Guangzhou FC cuba melakukan beberapa pertukaran pemain tetapi JDT dilihat terlalu ampuh dengan pergerakan bola yang laju dan tekanan tinggi yang diberikan dan akhirnya sekali lagi Bergson menjaringkan hatrick beliau untuk gol keempat JDT pada minit ke-52.
Nasib malang Guangzhou bertambah pada minit ke-69 apabila pemain tengah Guan Haojin dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Arab Saudi selepas dilihat menendang kepala Bergson.
Ramadhan Saifullah menambah malam gemilang JDT apabila mudah menewaskan penjaga gol lawan untuk gol kelima sekaligus tiga mata buat JDT dan kini mendahului Kumpulan I.
Selepas gol kelima, Benjamin Mora mengeluarkan beberapa pemain-pemain utama untuk direhatkan sebelum dijadualkan bertemu wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada Isnin juga di Stadium Sultan Ibrahim.