SELANGOR FC bakal mendapat rumah baharu yang lebih selesa menjelang musim baharu Liga Malaysia 2024-25 apabila pemilik Stadium MBPJ Kelana Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengesahkan akan menaiktaraf stadium itu bermula dari Disember 2023 lalu.
Stadium dengan 25,000 kapasiti itu akan dinaiktaraf sesuai dengan spesifikasi yang dikehendaki Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi membolehkan skuad Gergasi Merah menggunakan venue itu untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024-25.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu layak ke pertandingan tier 2 bola sepak Asia selepas menamatkan saingan Liga Super 2023 di tempat kedua dan pengurusan pasukan bersetuju untuk mengekalkan Stadium MBPJ sebagai venue ‘home’.
Venue pelbagai guna yang dibuka pada 1996 itu akan menjalani proses naik taraf dengan pemasangan kerusi tempat duduk VIP dan penonton yang baharu, pembinaan bumbung serta beberapa lagi kerja-kerja teknikal seperti sistem pembesar suara dan bilik mesyuarat.
Perkara ini disahkan oleh MBPJ menerusi papan tanda projek yang didirikan di hadapan stadium dengan kesemua kerja naik taraf dijangka siap pada 7 Jun 2024 sebelum sepak mula ACL2 pada bulan September 2024.
Namun begitu masih tidak diketahui sama ada MBPJ akan melakukan penukaran padang dan saliran dengan mengambil geran Penambahbaikan Saliran dan Penanaman Rumput bernilai RM500,000 yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dengan pengumuman ini, penyokong Selangor boleh menjangkakan pengalaman menyokong yang lebih baik dengan tempat duduk baharu yang dapat dijamin dapat menambah keselesaan dan keselamatan penyokong yang hadir ke stadium.