KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, memikul tanggungjawab sepenuhnya kekalahan 0-1 kepada Bahrain dalam aksi peringkat Kumpulan E, Piala Asia 2023 pada Sabtu.

Pada aksi di Stadium Jassim Bin Hamad,
Malaysia menelan kekalahan yang cukup perit ditelan apabila terpaksa gigit jari ketika perlawanan berbaki 15 saat menerusi jaringan yang disempurnakan oleh Ali Madan.

“Kita perlu terima dimana kita ada di sini, sekurang-kurangnya pemain tunjukkan mentaliti yang cukup hebat dengan kemampuan mereka.

“Kami bermain dengan pasukan lebih hebat. Dua tahun kami bangkit dari semasa ke semasa dan kami rasa kami mampu kerana sebelum ini kami pernah beri saingan sengit kepada pasukan ranking 80 dunia seperti China dan lain-lain.

“Sebagai jurulatih, saya minta maaf kepada peminat atas kekecewaan mereka yang mahu pasukan layak Pusingan 16 dan saya ambil tanggungjawab terhadap keputusan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dengan keputusan berkenaan, Malaysia terpaksa pulang awal dan gagal melepasi peringkat kumpulan sekali gus tersingkir lebih awal.

Selepas ini, pasukan negara akan melengkapkan jadual kumpulan dengan menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis ini.