PENCAPAIAN ke final edisi tahun lalu, gagal diulangi gandingan nombor empat dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, apabila terkandas di separuh akhir Terbuka India 2024.

Ironinya, gandingan utama negara tewas kepada pasangan tuan rumah, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 18-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit.

Aaron, 26, sebelum ini pernah menyatakan bahawa gandingan India yang kini berada di ranking kedua dunia dan beregu nombor 1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang adalah dua pasangan yang paling sukar untuk digugat ketika ini.

Pada final Terbuka India tahun lalu, mereka tewas kepada Wei Keng-Wang Chang dalam pertarungan rubber set.

Gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty semakin selesa setiap kali berdepan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Mengulas prestasi dia dan Wooi Yik pada kejohanan kali ini, Aaron yakin mereka sudah mempamerkan prestasi yang baik biarpun nasib tidak memihak mereka.

“Saya rasa semuanya OK. Secara keseluruhan… ia tidak memberi kesan (corak permainan) di set kedua tetapi sedikit sahaja.

“Saya fikir, kami sudah memulakan permainan dengan baik di set pertama namun di set kedua ia tidak terlalu memihak kepada corak permainan kami, jadi ia satu kekurangan buat kami ketika menentang mereka,” kata Aaron ketika ditanya mengenai keadaan matanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pencapaian Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada awal 2024 agak memberangsangkan berikutan mara ke separuh akhir Terbuka India selepas tersingkit di suku akhir Terbuka Malaysia 2024.

Berdasarkan rekod 10 pertemuan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik yang berada diranking keempat dunia mempunyai kelebihan ke atas Rankireddy-Shetty dengan memperoleh lapan kemenangan berbanding lawan, dua kemenangan.

Aksi separuh akhir semalam juga secara tidak langsung membolehkan beregu dari India itu memperoleh kemenangan ketiga mereka.

Pada dua pertemuan terakhir sebelum ini, Aaron-Wooi Yik tewas kepada gandingan India itu di separuh akhir Sukan Asia Hangzhou dan di pentas final Terbuka Indonesia 2023.