PENGENDALI Iraq, Jesus Casas mendedahkan bahawa prestasi Iraq ‘hampir kepada perlawanan yang sempurna’ selepas Lions of Mesopotamia menempah tempat ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023 dengan kemenangan mengagumkan 2-1 ke atas juara empat kali Jepun di Stadium Education City.

Aymen Hussein menjaringkan kedua-dua gol bagi aksi Kumpulan D itu sebelum Wataru Endo menghasilkan gol Jepun dihujung perlawanan, ketika Iraq mencatatkan kemenangan berturut-turut.

“Hari ini adalah hari yang hebat untuk rakyat Iraq tetapi bagi kami ia hanya satu kemenangan.

“Kami mendapat enam mata tetapi kami perlu memikirkan tentang Vietnam.

“Selepas ini pemain perlu menikmati waktu rehat, tetapi saya rasa pemain saya sangat bijak.

“Hanya satu perlawanan hari ini dan selepas itu kita perlu memikirkan tentang Vietnam, Vietnam, Vietnam.

“Kejohanan ini sangat sukar. Semua kejohanan adalah sangat sukar, jika dalam perlawanan ini ada satu kesilapan, akibatnya selamat tinggal semuanya. Kami hanya perlu memikirkan tentang Vietnam dan selepas itu lawan seterusnya,” ujar Casas.

Juara 2007 itu mengejutkan Jepun dengan mendahului pada minit kelima apabila Hussein menanduk dari jarak dekat dan dalam masa tambahan separuh masa pertama, pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan gol kedua.

Gol-gol itu menunjukkan prestasi pasukan Iraq mendominasi bahagian tengah sepanjang 45 minit pertama.

“Bola sepak seperti berjuang, ia adalah kualiti yang perlu ada untuk bersaing.

“Adalah penting untuk memenangi perlawanan. Cara saya sejak bersama pasukan kebangsaan Iraq adalah sama, dalam perlawanan persahabatan, saya memilih pemain yang bukan hanya boleh menjadi pejuang tetapi pemain yang bagus juga.

“Perbezaan di peringkat pasukan kebangsaan ialah anda memerlukan keseimbangan antara berjuang dan kualiti.

“Perlawanan sempurna tidak wujud. Mustahil untuk mendapat perlawanan yang sempurna. Tetapi kami hampir dengan perlawanan sempurna,” tambah Casas.

Iraq menang dengan sokongan majoriti penonton di Stadium Education City dan ketua jurulatih Jepun Hajime Moriyasu mengakui sokongan itu memainkan peranan dalam keputusan permainan.

“Kami bersedia dengan cara yang sama seperti kami membuat persiapan menentang Vietnam tetapi dari mula kami mendapati kami berada dalam kedudukan yang sukar, terutamanya dengan kehadiran penonton, terasa seperti perlawanan di tempat lawan.”