PEMAIN tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba tidak akan menyerah kalah menjelang aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub pada Khamis ini.
Jelas tonggak kelahiran Pulau Pinang itu, pemain Malaysia tidak akan menyerah kalah biarpun menyedari peluang negara untuk layak ke pusingan kedua sudah tertutup.
Namun katanya, ia bukan alasan untuk tidak menyajikan persembahan terbaik, sebaliknya tekad turun memerah keringat demi menjaga maruah negara.
“Untuk saya setiap perlawanan walaupun macam orang tengok kita pasukan pelengkap jadual, tetapi dalam padang kita orang berlari.
“Kita orang sentiasa pergi untuk mencabar bola. Jadi secara peribadi, saya akan push diri saya sehabis mungkin macam ia adalah perlawanan terakhir saya.
“Saya akan bagi yang terbaik sebab kita tahu ini adalah maruah yang saya pikul iaitu maruah negara. Bagi saya tak ada istilah pelengkap jadual, tetapi ia adalah perlawanan untuk kita buat sehabis baik untuk melawan Korea nanti,” katanya.
Malaysia bermula rentak sumbang tewas 0-4 pada aksi pembukaan di tangan Jordan, serta gagal bangkit dalam perlawanan kedua kumpulan apabila jaringan Ali Madan minit akhr memusnahkan impian pasukan meraih satu mata selepas tewas 0-1 kepada Bahrain.
Dengan keputusan berkenaan, pasukan negara gagal meraih sebarang mata sekali gus tersingkir lebih awal.
“Penyokong hampa, saya pun hampa, semua orang hampa juga. Tapi ini adalah kerja kita, untuk perlawanan terakhir kita kena bangkit balik.
“Dan beri tentangan lebih baik dalam perlawanan akan datang,” kata Syamer yang beraksi buat Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia.