SELEPAS berakhir dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Asia 2023, kehadiran penyokong ke semua venue mencatatkan peningkatan positif berbanding perlawanan pertama dengan semakin ramai penyokong tiba di Qatar.

Sepanjang 12 perlawanan yang berlangsung, sebanyak 428,668 kapasiti tempat duduk ditawarkan di lapan venue dengan 337,419 atau 78.7 peratus kehadiran dicatat berdasarkan data yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Solidariti penyokong terhadap Palestin di kejohanan ini menunjukkan hasil yang baik apabila perlawanan antara negara bergolak itu dengan Emiriah Arab Bersatu mencatatkan peratusan kehadiran tertinggi setakat ini dengan hampir 95 peratus penyokong membanjiri Stadium Al Janoub di Al Wakrah.

Perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 itu disaksikan 41,986 penyokong dari jumlah kapasiti sebanyak 44,325 yang turut menyaksikan laungan ‘free Palestine’ bergema sepanjang perlawanan sebagai tanda solidariti.

Malaysia masih mengekalkan rekod peratusan kehadiran tertinggi bagi negara Asia Tenggara dengan 10,386 penyokong hadir di Stadium Jassim Bin Hamad yang berkapasiti 13,030 tempat duduk untuk mencatat hampir 80 peratus kehadiran ketika aksi menentang Bahrain.

Namun para penyokong Harimau Malaya terpaksa pulang hampa selepas jaringan minit akhir Bahrain menyaksikan Malaysia tewas dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Asia yang pertama kali disertai secara merit sejak 43 tahun.

Aksi Vietnam dan Indonesia di Stadium Abdullah Bin Khalifa yang berkapasiti 10,000 tempat duduk menyaksikan 7,235 atau 72 peratus penyokong hadir untuk menjadi saksi skuad Garuda menyingkirkan Vietnam dari kejohanan dengan kemenangan 1-0.

Satu lagi pasukan Asean, Thailand menghampiri pusingan kalah mati selepas mengikat Oman tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Abdullah Bin Khalifa dengan 6,350 penyokong memenuhi stadium berkapasiti 10,000 itu.

Peratusan terendah kehadiran penyokong diperolehi dari perlawanan Kumpulan A antara China dan Lebanon apabila hanya 31.8 peratus atau 14,137 penyokong hadir ke Stadium Al Thumama yang mempunyai 44,400 tempat duduk.

Perlawanan ketiga kumpulan yang bermula pada Isnin dijangka akan dihadiri lebih ramai penyokong dengan 11 tempat ke peringkat 16 terbaik masih perlu diisi sekaligus memberikan debaran buat semua pasukan yang bertanding.