TRIO pengadil Malaysia bakal menjadi tumpuan di tengah padang apabila akan bertugas buat pertama kali di Piala Asia 2023 selepas dipilih untuk mengadili perlawanan Kumpulan D antara Iraq dan Vietnam di Stadium Jassim Bin Hamad pada Rabu.
Pengadil utama, Nazmi Nasaruddin dengan dibantu dua penjaga garisan ‐ Zairul Khalil Tan dan Arif Shamil Abd Rasid akan mengadili perlawanan pertama mereka sebagai trio di Piala Asia sekaligus perlu membuktikan kemampuan mereka.
Ketiga-tiga mereka akan dibantu pengadil keempat, Alireza Faghani dari Iran sambil pengadil Video Bantuan Pengadil adalah Fu Ming dari China bagi memastikan kelancaran perlawanan yang dijangka sangat menarik.
Nazmi yang menjadi pengadil Fifa sejak 2016 bersama dua pembantunya itu juga adalah pengadil Malaysia pertama yang mengendalikan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) September lalu.
Aksi Iraq dan Vietnam ini adalah kali ketiga Nazmi ditugaskan sebagai pegawai perlawanan dengan dua kali dia memegang peranan pengadil keempat ketika perlawanan China bertemu Tajikistan dalam Kumpulan A dan aksi Kumpulan D antara Iraq dan Jepun.
ARTIKEL BERKAITAN: Nazmi Nasaruddin pecah rekod pengadil Malaysia pertama guna VAR
Nazmi juga diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai pilihan pengadil ke Piala Dunia 2026 dan pengalaman di Piala Asia ini sudah tentu perlu digunakan barisan pengadil untuk menimba lebih pengalaman di peringkat antarabangsa.