PELUANG perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris, masih terbuka biarpun terlepas empat kejohanan besar yang menawarkan mata, sepanjang bulan Januari.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock berkata, peluang untuk melihat pemain berusia 24 tahun itu beraksi di Kota Paris masih 50-50.

“Masih ada siri kejohanan di Eropah dan kita harap prestasinya perform up to date, jangan bimbang peluang masih cerah lagi,” kata Seu Bock.

Jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock mahu Ng Tze Yong sihat sepenuhnya.

Tambah jurulatih yang berpengalaman mengendalikan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika mengalami kecederaan terseliuh kaki hanya kurang tiga bulan sebelum Olimpik London 2012, yakin proses pemulihan Tze Yong berada di landasan tepat untuk membolehkannya mewakili negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Selangor, 13 hingga 18 Februari depan.

“Buat masa ini, fokus Tze Yong di gimnasium di bawah kendalian jurulatih fizikal, Mohd Roesdi Ab Ghani diteruskan seperti biasa.

“Trauma mungkin ada kerana dia agak risau melakukan pergerakan, takut sakit itu datang lagi. Memang dia belum pulih sepenuhnya dan jika pergerakan yang dipaksa akan mendatangkan kesakitan semula, jadi itu juga kurang bagus.”

Ng Tze Yong melompat dan melakukan smash bagi mematikan bulu tangkis ketika menentang Koki Watanabe (Jepun). Akibat smash dilakukannya pada mata 7-7, dia mengalami kecederaan belakang dan menarik diri daripada meneruskan permainan.

BATC yang juga kejohanan sebenua turut menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Paris, bakal menjadi pentas antarabangsa pertama buat Tze Yong selepas terpaksa menarik diri di pusingan pertama Terbuka Malaysia akibat kecederaan otot tulang belakang ketika melakukan smash.

Akibat kecederaan itu, dia terpaksa meluakan aksi di Terbuka India, Indonesia Masters dan Thailand Masters.

Selepas BATC, Tze Yong dijangka menyertai kejohanan di Eropah bermula dengan Terbuka Jerman (Super 300) pada 27 Februari hingga 3 Mac, Terbuka Perancis (Super 750) 5 hingga 10 Mac, Seluruh England (Super 1,000) 12 hingga 17 Mac, dan Terbuka Switzerland (Super 300) pada 19 hingga 24 Mac.

Gara-gara terlepas aksi Terbuka Malaysia dan India, kedudukan Tze Yong semakin merosot dan kini berada di ranking ke-15 dunia.