SATU kelegaan buat para penyokong Selangor FC apabila pemain tengah Selangor, Noor Al-Rawabdeh masih kekal bersama The Red Giants pada musim 2024/2025.

Perkhabaran tersebut telah dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Instagram Selangor FC yang menyatakan bahawa mereka masih mendapat khidmat daripada tonggak utama tersebut.

“Segala sukacita dan dengan rasa berbesar hati kami ingin mengumumkan, pemain tengah kami iaitu Noor Al-Rawabdeh akan melanjutkan khidmatnya bersama kami untuk musim 2024/2025 ini,” menurut kenyataan Selangor FC.

Untuk rekod, Al-Rawabdeh telah menonjolkan aksi cemerlang di bahagian tengah bersama Selangor FC sejurus berjaya meledak lima biji gol dan tiga bantuan jaringan dalam 28 perlawanan keseluruhan.

Pemain berusia 26 tahun itu juga menjadi sebahagian daripada watak utama dalam kejayaan The Red Giants merangkul gelaran naib juara Liga Super 2023.

Al-Rawabdeh turut mewakili Jordan untuk beraksi di pentas Piala Asia namun difahamkan bahawa dirinya ditimpa kecederaan ketika berdepan Malaysia dalam saingan pertama di Piala Asia Qatar 2023.