MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kagum dengan semangat juang yang ditunjukkan skuad Harimau Malaya apabila berjaya mengikat Republik Korea 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023 di Qatar.

Dalam aksi di Stadium Al Janoub itu, Malaysia berjaya mendahului anak-anak buah Jurgen Klinsmann 2-1 sebelum ketinggalan semula pada masa kecederaan dan berjaya bangkit menerusi gol Romel Morales pada minit terakhir permainan untuk mengutip satu mata berharga.

“Tahniah kepada pasukan Harimau Malaya kerana mereka berjuang habis-habisan sampai akhirnya dapat seri dengan Republik Korea dan ini adalah satu penamat yang sangat kuat.

“Tidak lupa tahniah juga kepada jurulatih Kim Pan-gon kerana tidak berputus asa dan juga kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana telah berusaha melakukan yang terbaik.

“Kerajaan Madani akan terus menyokong Harimau Malaya untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya ketika hadir di tayangan skrin gergasi bersama para penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

Hannah turut menganggap kejayaan mengikat pasukan ranking ke-23 dunia itu sebagai satu keajaiban dan juga sebagai bukti para pemain tidak boleh mudah berputus asa untuk mencapai keputusan yang cemerlang.

“Ini adalah keajaiban buat Malaysia dan ini menunjukkan kita tidak boleh berputus asa dan jika kita gagal kali pertama jangan putus asa, kedua kita cuba lagi dan ketiga kita seri dengan Korea dan ianya satu perkara yang sangat ajaib.

Better days are ahead of us dan jangan sesekali ingat Malaysia terlalu jauh dan kita sudah buktikan tahap kita sama jika berjuang habis-habisan,” jelasnya.

Jaringan pada babak kedua oleh Faisal Halim, Arif Aiman dan Romel Morales itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen Piala Asia kali ini dengan satu mata berharga dan tiga jaringan namun gagal layak ke pusingan seterusnya.