TULAR mengenai pengorbanan seorang penyokong Harimau Malaya yang sanggup menjual motosikalnya demi merealisasikan impian menonton aksi perlawanan Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023, Qatar.
Pemuda yang dikenali sebagai Derrick Gan dihubungi FLASH SUKAN sejurus menyatakan perasaan teruja dan sebak masih melekat di jiwanya apabila Malaysia berjaya mengikat pasukan Korea Selatan pada aksi malam Khamis.
Derrick juga mengakui bahawa keputusan seri 3-3 merupakan satu hadiah istimewa buat dirinya setelah dia bertungkus lumus untuk terbang ke Qatar bagi memberi sokongan penuh terhadap pasukan kebangsaan.
Tambahan lagi, dirinya hampir berputus asa dan kecewa apabila motornya tidak terjual.
“Ketika tiba pada tahap untuk saya rasa berputus asa kerana tiada sesiapa yang ingin membeli motor, saya juga amat terkilan kerana tidak dapat pergi menonton aksi Malaysia menentang Korea Selatan.
“Tetapi lebih kurang seminggu sebelum perlawanan, tanpa dijangka saya telah mendapat kiriman mesej daripada seseorang yang berminat untuk beli motosikal saya.
“Maka akhirnya, saya ada di sini. Ini merupakan definisi kebahagiaan buat saya dan 110 peratus berbaloi,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, pemuda kelahiran Melaka ini mendedahkan bahawa dirinya sudah menerima tawaran daripada pihak Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) untuk diberi motosikal percuma kepadanya.
Namun, segalanya masih belum muktamad dan proses pembincangan akan dilanjutkan setelah dirinya selamat sampai ke tanah air.