PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan wujud campur tangan dalam pengurusan skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.

Malah, presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, isu itu sengaja ditimbulkan segelintir pemain ke-12 yang kecewa dengan prestasi hambar Harimau Malaya terutamanya pemilihan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) Natxo Insa dalam kempen Piala Asia Qatar 2023.

Tegas Hamidin lagi, Pan-gon selepas berbincang dengan jurulatih lain kemudian senarai akhir dimuktamadkan kepada dia sebagai badan induk bola sepak negara itu.

“Tangan ghaib ini sudah banyak kali orang kata. Saya nak jelaskan dia (Pan-gon) membuat senarai pemain selepas berbincang dengan barisan jurulatih dan dia muktamadkan senarai itu dengan saya sebagai presiden, yang lain tak ada.

“Jadi saya berasa ini bukan isu, beberapa kemenangan dalam dua tahun ini tak ada pula yang kata ada campur tangan dan kita naik sampai ranking 130. Saya bincang dengan sebahagian penyokong pun mereka faham.

“Jadi saya tak setuju (dakwaan ada tangan ghaib), kerana kami yang memastikan apa yang Pan-gon nak. Sama ada siapa pun kita, memang kita nak bola sepak kita naik dan pergi lebih jauh,” ujarnya.

Kata Hamidin lagi, “Natxo itu daripada dua tahun lalu lagi Pan-gon mahukan, tetapi sebelum ini Natxo mengalami kecederaan dan hanya ini (Piala Asia) masa yang dapat (guna Natxo).

“Habis perlawanan sampai sekarang dia cakap, Natxo kalau tak cedera dia akan bawa. Itu saya nak katakan dua tahun menang tak ada cerita tangan ghaib,” ujar Hamidin.

Mengenai kegagalan Harimau Malaya melepasi fasa Kumpulan E Qatar 2023 selepas tewas 0-4 kepada Jordan diikuti Bahrain (0-1) dalam dua perlawanan awal, Hamidin tanpa berselindung menyifatkan anak buah Pan-gon kurang bernasib baik dalam dua perlawanan itu.

“Bagi saya pemain menunjukkan permainan yang bagus lawan Bahrain, tapi kita tak ada rezeki. Macam saya katakan lawan Kyrgyzstan kita patut kalah tapi dengan rezeki kita menang pada saat akhir.

“Ini pun terjadi kepada kita semasa menentang Bahrain. Jadi kita kena redah dengan takdir, ini bukan sebab Natxo atau pemain, saya tak percaya dengan itu semua,” katanya.

Harimau Malaya mengakhiri kempen Piala Asia di tangga tercorot Kumpulan E dengan satu mata daripada tiga aksi dilalui selepas tewas kecundang di tangan Jordan dan Bahrain, namun mempamerkan aksi mantap ketika seri 3-3 dengan Korea Selatan.