PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman menegaskan mereka akan menilai kenyataan yang dikeluarkan oleh pemain wanita kebangsaan, Intan Serah Anisah Zulgafli di laman sosial peribadinya sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.
Intan mencetuskan kontroversi di laman maya apabila dia memuatnaik ciapan kurang bijak terhadap ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan pemain negara, Romel Morales ketika perlawanan Kumpulan E, Piala Asia menentang Republik Korea.
Penyerang Malayan Tigress itu dilihat mempertikaikan tindakan Pan-gon membawa masuk Morales yang dianggap tidak tepat dan mendapat kecaman dari netizen sehingga memaksa dia memadam semula ciapan itu.
“Kita akan menilai kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Intan Serah dan kita akan memanggil dia kerana sebagai pemain bola sepak kebangsaan, dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan begitu.
“FAM akan lihat dahulu kenyataan itu sebelum mengambil sebarang tindakan dan pihak kami juga sentiasa berpesan kepada para pemain supaya menjaga tingkah laku mereka di media sosial,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Selepas teruk dikecam, Intan memuat naik hantaran meminta maaf disertai sekeping gambarnya bersama Pan-gon ketika tiba dari Doha, Qatar dengan menyatakan dia dibawah kawalan emosi ketika melakukan ciapan itu dan dia menghormati semua yang terlibat dalam pasukan kebangsaan.
Keterlanjuran di media sosial bukan perkara baharu buat atlet-atlet kebangsaan yang mengundang kecaman peminat sehingga menjejaskan prestasi akibat digantung oleh persatuan sukan yang terlibat.