PERAK FC giat mencari untuk mendaftar sehingga tiga pemain import baharu untuk memantapkan lagi skuadnya sekarang, tertakluk lulus ujian perubatan dan prasyarat kejurulatihan.
Menurut kenyataan media kelab itu, pemain dimaksudkan adalah penyerang asal Croatia, Stipe Plazibat, pemain tengah, Luciano Guaycochea (Argentina) dan Sunday Kolawole Afolabi (Nigeria).
Plazibat (gambar) meledak 14 gol dalam 17 penampilan untuk kelab Singapura, Lion City Sailors pada musim 2020/21 menjadikan penjaring terbanyak di Liga Premier Singapura (SPL).
The Bos Gaurus kini dalam kedudukan bahaya berdepan penyingkiran dari Liga Premier dan kehadiran mereka diharap mampu mengukuhkan pasukan untuk keluar dari kelompok tercorot.
“Input peminat adalah penting untuk keputusan ini dan selepas interaksi kami dengan fan base. Kami merasakan bahawa walaupun prospek skuad kukuh, mereka memerlukan sedikit peningkatan untuk baki sembilan perlawanan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin.
Pemain baharu itu dijangka dapat beraksi pada perlawanan persahabatan pada Ahad ini bertemu kelab Korea Selatan, Christian Seoul University di Stadium Perak, Ipoh untuk penilaian terakhir sebelum ditawarkan kontrak.