SELANGOR FC kini dalam rangka mempersiapkan pasukan untuk menghadapi musim Liga Malaysia 2024-25 dan akan mengadakan latihan pra musim di Thailand pada Mac.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon yang menegaskan skuad gergasi merah memerlukan pendedahan menentang kelab antarabangsa sebagai persiapan menghadapi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang bermula pada September.

“Buat masa ini kita membuat perancangan untuk melakukan latihan pra musim di Bangkok, Thailand pada bulan Mac disebabkan pada waktu itu sahaja pemain-pemain Selangor semua ada kerana selepas itu ramai pemain B-23 akan ke kem kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon

“Fokus ketika pra musim adalah untuk meningkatkan persefahaman antara pemain lama serta baharu dan sebab itu kami lakukannya lebih awal. Kita akan menentang beberapa kelab di Thailand namun bukan mudah kerana liga di sana masih berjalan,” katanya ketika ditemui di majlis pengenalan TikTok Malaysia sebagai penaja Selangor FC.

Johan juga menyatakan rasa gembira dengan kerjasama bersama TikTok Malaysia dimana satu kempen kehidupan sihat akan dilancarkan bersama komuniti bagi jangka masa panjang.

“TikTok melakukan satu kempen iaitu #sukandiTikTok kerana kita mahu mulakan agenda untuk membentuk komuniti yang sihat dan menjadikannya sebagai satu budaya di Selangor,” jelasnya.

Pengurus Operasi Strategi TikTok Malaysia, Darren Quek

Sementara itu, Pengurus Operasi Strategi TikTok Malaysia, Darren Quek pula berkata pemilihan Selangor FC adalah kerana mereka memerlukan satu jenama yang besar dalam industri sukan untuk memperkasakan kandungan sekali gus keluar dari kandungan hiburan kepada kandungan berbentuk edutainment dan sukan.

“Selangor FC adalah satu kelab bola sepak tempatan terbesar dan ianya boleh membantu kami memperkasakan sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan sokongan padu yang bakal diberikan penyokong Selangor.

“Kami akan menyediakan pelbagai kandungan buat para penyokong dan berharap ianya dapat memberi manfaat kepada semua pihak sekaligus kami boleh keluar dari kepompong kandungan hiburan,” katanya.

Turut hadir di majlis pelancaran itu adalah Exco Belia dan Sukan Selangor, Najwan Hilmi yang turut menjadi saksi permulaan kerjasama antara Selangor FC dan TikTok Malaysia yang berdurasi selama satu tahun.