FOTO : BAM
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin perlu segera memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti termasuk dari sudut keyakinan dan mentaliti terutama ketika berada di gelanggang.
Aidil akan menentang Chan Yin Chak dari Hong Kong pada pusingan kelayakan pertama Masters Thailand pada 30 Januari ini.
Aidil bertembung dengan Chan Yin Chak pada pusingan kelayakan Terbuka Macau 2019 dan menang 2-1, namun ia tidak lagi boleh dijadikan ukuran memandangkan lawannya itu sudah pun menduduki ranking lebih tinggi daripadanya, ke-72 dunia ketika ini.
“Saya kurang dari segi taktikal dan juga mentaliti. Fizikal dan selebihnya, semuanya boleh dikatakan OK tetapi mentaliti, keberanian agak kurang konsisten. Saya tidak pasti mengapa, tetapi ia sering berlaku, dan sukar untuk dikawal.
“Apa pun, saya telah bekerja terutamanya dalam latihan untuk lebih fokus dan meningkatkan tumpuan saya ketika membuat pukulan.
“Saya bersyukur kerana masih boleh berada di kem kebangsaan. Matlamat saya untuk musim 2024 adalah untuk menjadi lebih baik dalam setiap kejohanan yang saya sertai jika saya boleh mendapat keputusan yang baik dan memenangi kejohanan supaya saya dapat meningkatkan ranking saya dan seterusnya menyertai kejohanan yang lebih tinggi,” kata Aidil.
Pencapaian terbaik Aidil pada tahun lalu adalah memenangi Cabaran Antarabangsa Indonesia di Surabaya selepas menewaskan pemain Jepun, Keita Makino 21-14, 21-6.