MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil memberi penjelasan mengapa sukan bola sepak amnya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya menerima dana tambahan RM5 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Hannah memuat naik kenyataan menerusi media sosial peribadinya dengan menegaskan dana yang diluluskan kepada FAM itu bukanlah hadiah sebaliknya adalah bantuan untuk skuad Harimau Malaya menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak ke Piala Asia 2027.

“Kenapa bagi banyak dana sehingga RM5 juta kepada sukan bola sepak? Sejujurnya, sebelum saya masuk KBS (Kementerian Belia dan Sukan), saya turut mempersoalkan mengapa perlu beri dana tambahan kepada bola sepak. Tetapi sekarang saya faham.

“Kali pertama dalam tempoh 42 tahun, Malaysia layak secara merit ke Piala Asia. Ranking Harimau Malaya dalam Kumpulan E paling bawah. Mereka ke sana untuk melakukan yang terbaik. Mereka cuba. Lawan Jordan, kalah. Mereka cuba lagi, lawan Bahrain, main dengan baik tapi saat akhir pihak lawan jaringkan satu gol. Lawan Korea mampu seri 3-3 dan cuba bandingkan ranking kedua-dua pasukan.

“Para peminat sukan paling popular di Malaysia ini tanya bagaimana Kerajaan boleh bantu pasukan Harimau Malaya untuk terus maju lagi. Target kita untuk mereka terus layak ke Piala Asia. Tapi tanpa dana, bagaimana mereka boleh bersaing? Mari kita bandingkan dana pihak lawan.

“Harimau Malaya perlukan lebih banyak pendedahan luar negara. Sekali terbang bukan murah. Dana RM5 juta ini hanya mampu membantu kurangkan beban kewangan FAM dan mereka masih perlu cari dana tambahan. Kementerian Kewangan sudah letakkan syarat-syarat untuk memantau penggunaan dana ini oleh FAM. Tidak boleh digunakan untuk kos operasi pejabat, bil utiliti dan pembayaran emolumen. Dana ini boleh diaudit bila-bila.

“Kita harus ingat bahawa dana ini bukan hadiah tetapi bantuan untuk membantu mereka untuk kelayakan Piala dan Piala Asia seterusnya,” tulis kenyataan itu.

Untuk rekod, nisiatif tayangan skrin besar oleh KBS juga berjaya mencatatkan kehadiran 60,000 penyokong di semua lokasi sekaligus membuktikan bola sepak adalah sukan paling popular di negara ini.

Jelas Hannah juga akan berjumpa dengan Kom Pan-gon untuk berbincang dan mendengar perancangan masa hadapan selain mendapatkan saranan pakar dan pengkritik bagi memastikan skuad Malaysia menjadi lebih kuat.

“Kita ada 103 jenis sukan. Bukan semua sukan mempunyai peminat yang sama banyak. Sekali buat skrin besar, beribu-ribu rakyat keluar menonton. Ekosistem bola sepak dunia juga berbeza. World Cup dan Asian Cup melibatkan duit berbillion USD.

“Saya yakin dengan penambahbaikan lain yang KBS akan laksanakan melalui insentif cukai dan program pembangunan bakat, kita boleh terus melangkah ke hadapan.

“Saya akan berjumpa dengan jurulatih Kim Pan Gon selepas ini dan mendengar rancangan beliau. Pandangan pakar akan diterima, termasuk juga pandangan pengkritik yang membina yang sama-sama mahu pasukan kita berjaya,” tambahnya.

Skuad kebangsaan pulang dari Doha dengan satu mata berharga selepas mengikat gergasi Asia, Republik Korea 3-3 dalam aksi penuh dramatik sekaligus mencetuskan fenomena buat semua rakyat Malaysia selepas tewas dua perlawanan awal kepada Jordan dan Bahrain.

Selepas tidak berjaya layak ke pusingan 16 terbaik, Harimau Malaya kini akan meletakkan fokus mereka kepada dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac masing-masing di Muscat dan di Bukit Jalil.