SKUAD bawah 23 negara (B-23) disasar mara sehingga ke separuh akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Doha, Qatar dari 15 April hingga 3 Mei depan.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, sasaran itu bukan saja menempatkan Malaysia selaku empat pasukan terbaik, malah berpeluang merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris pada Julai ini.

Malah, katanya, tiga pasukan terbaik automatik mewakili Asia manakala satu lagi pasukan akan mengharungi saingan playoff menentang Guinea dari benua Afrika.

“Bagi memastikan harapan itu mampu dicapai, FAM akan berusaha keras menyediakan pasukan termasuk menghantar skuad Harimau Muda itu mengharungi beberapa aksi persahabatan berkualiti di luar negara.

“Bagaimanapun, kita akui bukan mudah untuk merealisasikan harapan itu namun dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku dan skuad kendalian Juan Torres Garrido berpeluang melakar sejarah.

“Kalau kita lihat kelayakan ini (Piala Asia B-23 di Qatar) makna hanya empat pasukan sahaja layak ke Olimpik, tiga tambah satu.

“Satu akan lawan playoff dengan benua lain. Jadi kalau dapat dua tempat teratas (peringkat kumpulan) akan layak ke suku akhir dan seterusnya masuk separuh akhir,” katanya ketika ditemui di Doha, Qatar.

Tambah Hamidin, memang harapan FAM mahu pemain negara memasuki peringkat separuh akhir, tapi sebelum itu kena layak dulu ke suku akhir.

“Jadi saya dan FAM akan tekan (berusaha) sebaik mungkin,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah melakukan perbincangan bersama Juan Torres Garrido di Doha di mana jurulatih Sepanyol itu turut hadir menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon beraksi di Piala Asia baru-baru ini.

“Saya dah bermesyuarat dengan Juan Torres (Garrido) dan beliau pun memang ada di Doha dan bincang dengan saya, kita akan buat persiapan bermain di Indonesia empat penjuru terlebih dulu.

“Dan juga datang ke Doha lebih awal untuk tempuh beberapa aksi persahabaan dan latihan, itu mustahak untuk kita buat. Kita ada pilihan sama ada pergi ke Qatar, Dubai atau Arab Saudi, tapi paling baik di Qatar,” katanya.

Di Piala Asia B-23 nanti, pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.