PASUKAN hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara, mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia Hoki 5s Lelaki di Muscat, Oman selepas berjaya membelasah Fiji 8-3.

Berdepan Fiji pada aksi terakhir Kumpulan D menyaksikan skuad bimbingan Wallace Tan menjaringkan lapan gol dengan tiga daripadanya sumbangan Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Manakala lima lagi gol milik Mohd Abid Sufian Mat Roslee, Syarman Mat Tee, Firdaus Rosdi, Muhammad Firdaus Omar dan Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin.

Mohamad Akhimullah Anuar Esook (C) meledak tiga gol ketika membantu pasukan tewaskan Fiji. | Foto FIH

“Kami mematuhi segala arahan jurulatih untuk mencatat kemenangan ini. Saya gembira kerana ini adalah Piala Dunia pertama untuk hoki 5s,” kata Syarman selepas tamat perlawanan.

Malaysia belum tewas pada aksi kumpulan selepas seri 3-3 dengan tuan rumah, Oman dan menang tipis 3-2 ke atas Amerika Syarikat (AS).

Begitupun hasrat menjuarai kumpulan tidak kesampaian selepas Oman mencatat kemenangan 6-4 ke atas AS, dan mendahului pasukan negara menerusi kelebihan perbezaan jaringan.

Syarman Mat Tee (kiri) turut menjaringkan satu gol ketika Malaysia menentang Fiji. | Foto FIH

Justeru, selaku naib juara Kumpulan D, Malaysia dijadual berdepan juara Kumpulan C iaitu Trinidad & Tobago (T&T) yang membelasah New Zealand 11-4 pada perlawanan terakhir kumpulan.

Sementara Oman yang muncul juara kumpulan D pula dijadual menentang Kenya yang muncul naib juara kumpulan C selepas membelasah Australia 7-4.

Perlawanan suku akhir Malaysia menentang T&T akan berlangsung jam 3.30 petang esok.