MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yakin keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada di bawah pengawasan yang cukup baik setakat ini.
Hannah berkongsikan keadaan terkini padang SNBJ menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung tidak lama lagi serta menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah.
“Saya ada melawat stadium dan bagi saya, rumput semua berada pada tahap yang baik.
“Kerja penyelenggaraan sedang dijalankan oleh pihak kontraktor dan kita sentiasa pantau Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi memastikan segala ekosistem bola sepak untuk memperbaiki ranking negara dijaga dengan baik.
“Bukan sahaja padang SNBJ, malah kita turut tawarkan peruntukan RM500 ribu kepada setiap pasukan untuk hadapi kalendar berbeza meliputi musim hujan bertujuan membantu ekosistem bola sepak agar lebih maju,” ujar Hannah Yeoh.
Sebelum ini, padang stadium keramat Bukit Jalil telah mendapat perhatian oleh segenap penyokong bola sepak tempatan mengenai situasi rumput padang yang mudah terkopak dan tidak cantik untuk digunakan.
Perkara tersebut berlanjutan sehingga penganjuran Konsert Coldplay pada 22 November 2023 sebelum digunakan dalam aksi akhir Piala Malaysia 2023 pada awal Disember.
Malaysia akan bertemu dengan pasukan Oman untuk aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 26 Mac depan.