SATU lembaran baharu telah dicipta skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara, apabila melangkah ke final edisi sulung Piala Dunia Hoki 5’s 2024 yang berlangsung di Muscat Oman.
Oman bukan lagi padang yang asing buat hoki dunia, selepas kerap kali menganjurkan kejohanan bertaraf dunia beberapa tahun kebelakangan ini, dan kali ini Malaysia berpeluang mencipta kemasyhuran selepas menewaskan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir awal pagi tadi.
Muhammad Akhimullah Anuar Esook yang mengetuai pasukan, yakin keyakinan rakan-rakannya semakin meningkat menjelang aksi final menentang Belanda.
“Syukur dengan kejayaan ini kerana banbyak yang kami korbankan sejak mula kejohanan, seri 3-3 dengan Oman dan bangkit dalam perlawanan berikutnya.
“Tapi perjuangan belum berakhir, masih ada satu perlawanan untuk kami mencipta sejarah.
“Belanda memiliki pemain yang hebat dan pasukan nombor 1 dunia ketika ini,” katanya.
Kejayaan mara ke final itu hasil dua jaringan daripada Akhimullah pada minit ke-22 dan 24, dua lagi masing-masing menerusi jaringan Muhammad Arif Syafiq Ishak (m7) dan Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin (m19).
Poland memperoleh jaringan menerusi Damien Jarzembowski, Wojciech Rutkowski dan Jakub Holosyniuk (m9, 27, 30).
Jam 12.20 tengah malam ini menjadi penentu buat skuad negara, sama ada mampu melakar sejarah sebagai pasukan pertama menjulang trofi Piala Dunia pertama atau sebaliknya.
“Kita tahu Belanda sangat kuat dan mereka menang semua perlawanan di kejohanan ini termasuk menewaskan Pakistan dan India, tetapi kami akan cuba memenangi perlawanan esok,” kata ketua jurulatih, Wallace Tan.