KEJOHANAN Piala Asia AFC 2023 memecah rekod ‘digital engagement’ lebih ramai berbanding sebelum ini selepas hanya 10 hari pertandingan, dengan kesan pada saluran digital Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melebihi 1.5 bilion rekod akses tayangan.

Statistik itu dikeluarkan pada 23 Januari lepas dan besar kemungkinan jumlahnya lebih tinggi memandangkan saingan sedang memasuki Pusingan 16.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John jelas gembira peningkatan luar biasa sambutan ditunjukkan peminat sepanjang kejohanan yang berlangsung di Doha, Qatar.

“AFC berasa bangga dengan rekod ‘digital engagement’ yang menunjukkan pertambahan ketara. Ini adalah kejohanan Piala Asia Qatar dan bukannya Piala Dunia.

“Banyak faktor penyumbang terbesar penonton teruja mengikuti perkembangan edisi kali ini dan peminat di Qatar menzahirkan sokongan kepada 24 pasukan bertanding.

“Saya percaya rekod ini akan terus bertambah kerana masih ada lagi perlawanan yang akan datang,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Diadakan di Qatar buat kali ketiga, kejohanan itu bukan sahaja meleburkan, malah hampir menggandakan rekod sebelumnya iaitu 836 juta tayangan yang dicatatkan semasa edisi 2019 dihoskan di Emiriah Arab Bersatu (UAE)

Platform Facebook Piala Asia AFC menerima tontonan terbanyak kerana mencatatkan 266 juta tera dan 56.6 juta tontonan video, mewakili peningkatan sebanyak 48 peratus daripada edisi 2019.

ARTIKEL BERKAITAN : Piala Asia 2023 rekod sejarah tertinggi ‘digital engagement’

Bukan sahaja memecahkan rekod secara digital, edisi ke-18 adalah kejohanan yang paling banyak diliputi, dengan sebanyak 60 penyiar mempamerkan dari lebih 160 wilayah dan negara di seluruh dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Windsor memuji penyokong Malaysia yang hadir penuh bersemangat ke Doha bagi menzahirkan semangat tidak putus ada buat skuad Harimau Malaya.

Kehadiran Malaysia ke pentas tertinggi Asia sejak 43 tahun secara merit membuka mata pemerhati yang disifatkan sebagai tahun kebangkitan bola sepak negara itu.

May be an image of 9 people, people playing football, people playing American football and text that says "MJKM KELME E /EON B BÍG G MUNICH"

“Saya tabik penyokong Malaysia. Ramai orang bercakap mengenai Malaysia dan sorakan yang luar biasa di stadium. Ia sesuatu yang sihat dan positif.

“Secara tidak langsung, penyokong Malaysia juga mewujudkan ‘digital engagement’ kepada penyumbang rekod edisi kali ini,” katanya.

Perlawanan epik peringkat Kumpulan E menentang Korea Selatan yang berakhir seri 3-3, mencetuskan buah mulut dan fenomena kerana perbezaan ranking yang tinggi serta kesungguhan anak buah Kim Pan-gon yang bermain bermati-matian sehingga tamat permainan masa sebenar.