KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan akan menyalurkan peruntukan kepada skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki dan wanita negara bagi program latihan dan kejohanan kedua-dua pasukan berkenaan.

Menterinya, Hannah Yeoh menerusi perkongsian di laman sosialnya berkata, kedua-dua pasukan terbabit tidak menerima peruntukan sebelum ini disebabkan saingan Piala Dunia Hoki 5s yang disertai di Muscat, Oman adalah kejohanan baharu.

Pasukan 5 sebelah negara muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5’s di Muscat, Oman. |Foto FIH

Menurut beliau, kerajaan sudah menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5.63 juta setahun bagi kegunaan lima pasukan hoki negara bagi tahun 2023.

“Bagi tahun 2023, lima pasukan menerima jumlah besar RM5.63 juta.

“Piala Dunia Hoki 5s ini acara baharu, kali pertama 2024 untuk pasukan lelaki dan wanita. Kami sedang usahakan bantuan.

“Jumlah besar tujuh pasukan sekarang yang akan dibantu oleh KBS Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN),” kata Hannah menerusi hantaran di Facebook miliknya, malam tadi.

Grafik peruntukan kerajaan kepada pasukan hoki Malaysia.

Menurut Hannah, daripada RM5.63 juta yang diberikan kepada lima pasukan hoki negara, sebanyak RM2,084,618 disalurkan kepada skuad senior lelaki kebangsaan yang terdiri daripada 20 pemain manakala skuad wanita yang juga dibarisi 20 pemain menerima RM1,129,990.

Tambahnya, 20 pemain pelapis kebangsaan menerima RM1,315,783 manakala 36 pemain yang beraksi bagi pasukan hoki dewan pula diberi peruntukan sebanyak RM1,105,749.

Semalam, FLASH SUKAN melaporkan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mendedahkan jurulatih skuad hoki 5s lelaki negara, Wallace Tan yang membawa pasukan ke final Piala Dunia Hoki 5s, enggan mengambil gaji kerana memahami kekangan kewangan dialami badan induk itu dan hanya menerima elaun makan.

Malah Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, turut berkongsi bahawa pemain hoki 5’s menerima elaun latihan yang amat sedikit selain tidak mampu untuk memenuhi permintaan mereka yang mahukan kasut baharu.