SYARIKAT penyaman udara terkemuka dunia, Daikin Malaysia sah meneruskan jalinan kerjasama sebagai Rakan Rasmi Platinum bersama Selangor FC (SFC) untuk musim 2024.
Majlis menandatangani dokumen perjanjian telah diadakan di kilang pembuatan Daikin Malaysia Sdn Bhd, Sungai Buloh dan disaksikan sendiri oleh Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr.Johan Kamal Hamidin yang mengungkapkan rasa syukur dan lega di atas kolaborasi yang berterusan oleh pihak Daikin sejurus berharap agar ia mampu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Daikin kerana mencapai ulang tahun ke-100 mereka dan kami dari SFC berbangga kerana Daikin Malaysia sudi menaja pasukan kami untuk musim ini.
“Ini merupakan satu pencapaian terbaik kelab kerana kita telah dapat persetujuan daripada syarikat bertaraf antarabangsa seperti Daikin Malaysia.
“Oleh itu, kami akan cuba berusaha sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk terus berkongsi kepakaran antara satu sama lain bagi mencapai matlamat kerjasama ini,” ujar beliau dalam majlis yang diadakan di Kilang Pembuatan Daikin, Sungai Buloh pada Khamis.
Tajaan berterusan bagi tahun kedua ini menyaksikan Daikin Malaysia menyumbang sejumlah wang tunai kepada skuad Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang akan bermula pada Mei depan.
Sementara itu, SFC baru-baru ini juga telah mengumumkan kerjasamanya bersama aplikasi terkenal di dunia, TikTok Malaysia.
Kolaborasi antara kedua-dua entiti itu turut memutuskan untuk Selangor memaparkan logo TikTok pada jersi skuad bola sepak wanita, di stadium serta menggunakan tanda pagar ‘#SukanDiTikTok’di semua saluran media sosial pada hari perlawanan.