SYARAT baharu yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL) membenarkan enam pemain import berada di atas padang pada satu-satu masa bagi saingan Liga Malaysia musim 2024-2025 dilihat lebih mendatangkan kerugian buat pemain tempatan.

Perkara ini disuarakan oleh bekas pemain pertahanan negara, Razman Roslan yang menganggap syarat baharu itu walaupun mempunyai impak positif buat sisi komersil liga, namun ia bakal memberikan kesukaran buat pemain tempatan memburu tempat dalam kesebelasan utama.

Jika perkara ini berlaku, bakat-bakat tempatan perlu bekerja lebih keras bagi memastikan mereka tidak kurang minit perlawanan untuk mewakili skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Razman Roslan (tengah) pernah beraksi untuk Pahang dan Selangor.

“Kadang-kadang bila pemain di bawah ini menunggu masa untuk naik tapi bila sampai masanya dengan kemasukan pemain import mereka tidak berjaya mendapatkan tempat itu.

“Ia amat merugikan pemain, kita ada ramai bakat untuk diperkembangkan sebenarnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran adidas Malaysia Girls Football Programme (AMGFP) di Bukit Kiara pada Khamis.

Bekas pemain Selangor itu juga berpendapat bahawa bukan kesemua pemain import benar-benar berkualiti namun hanya disebabkan mempunyai status import, jurulatih lebih memilih untuk menggunakan khidmat mereka.

“Namun mungkin untuk kita sebagai liga profesional yang nak main di Liga Juara-juara Asia (ACL) perlukan enam import, saya rasa MFL terpaksa buat. Secara jujurnya amat merugikan pemain tempatan.

“Perkara itu sudah terbukti pada 2009 dan 2010 Malaysia tidak pakai pemain import pun tapi dapat lahirkan pemain seperti Safee Sali, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan daripada situ kita dapat lihat ada hasil biarpun menang Piala AFF,” katanya.

Baru-baru ini, MFL mengekalkan kuota sembilan pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan Liga Juara-Juara AFC Elite Elite (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu pemain import.

Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL serta mendapat persetujuan oleh kelab-kelab yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

Ini menyaksikan kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia) +1 (ASEAN) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang lagi pemain import di bangku simpanan.