KEJAYAAN skuad bimbingan Wallace Tan di bumi Oman, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila beliau mengucapkan tahniah kepada skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara yang muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi miliknya, Anwar menuntut pemain untuk terus mempamerkan kesungguhan dan aksi luar biasa dalam setiap kejohanan yang disertai selepas ini.
“Tahniah kepada pasukan hoki 5 sebelah negara yang menjadi naib juara Piala Dunia Hoki 5s lelaki di Muscat, Oman.
“Terus pamerkan kesungguhan dan aksi luar biasa dalam setiap kejohanan yang disertai selepas ini,” katanya.
Skuad negara yang mempersiapkan pasukan itu tanpa dana besar, memulakan kempen Piala Dunia dengan keputusan seri sebelum ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan D di belakang Oman.
Di suku akhir, pasukan kebanggaan negara mengatasi Trinadad & Tobago dengan keputusan 5-4 sebelum mengatasi Poland 4-3 di separuh akhir.
Namun mereka terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Piala Dunia Hoki 5s 2024 setelah tewas 2-5 kepada Belanda.