PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menghargai jasa dan sumbangan pihak media sebagai medium penyampaian berita dan informasi sepanjang pembabitan Harimau Malaya menjalani tugasan penting negara.
Exco FAM Christopher Raj yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi & Perhubungan Awam memberikan penghargaan buat seluruh rakan-rakan media yang sentiasa bersama dengan badan induk itu.
“Kalian juga tidak pernah berputus asa dari menyokong skuad kebangsaan. Bola sepak kita telah melalui pelbagai fasa suka dan duka, naik dan turun.
“Semalam kita semua adalah saksi kepada sejarah dan permulaan sinar baharu bola sepak negara.
“Tanpa kalian, tiadalah maklumat tepat, informatif dan menarik dapat disampaikan. Apatah lagi dengan pertambahan portal-portal sukan yang sentiasa menampilkan sisi lain skuad kebangsaan.
“Ini semua akan dirai dan dikenang oleh rakyat Malaysia dan juga kami di FAM.
“Saya harap, mood positif ini dapat dibawa sehingga ke perjuangan di Piala Asia kelak. Sekali lagi buat rakan rakan media, kejayaan ini adalah kejayaan kita semua,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.