SELANGOR FC mengumumkan kemasukan pemain pertahanan kebangsaan Uzbekistan, Umar Eshmurodov sebagai pemain import baharu Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bagi musim 2024-25.

Berita ini hadir selepas Selangor FC membuat keputusan untuk tidak mengekalkan tiga pemain import musim 2023 dan kehadiran Eshmurodov dijangka menambah kekuatan benteng Gergasi Merah.

Pertahanan berketinggian 185cm itu sebelum ini beraksi dengan kelab ternama Uzbekistan, FC Nasaf dan telah menjulang Uzbek Cup untuk tiga tahun beturut-turut iaitu pada musim 2021, 2022 dan 2023 serta Uzbek Supercup untuk musim 2022/2023 serta naib juara Piala AFC 2021.

Umar juga adalah sebahagian daripada skuad senior Uzbekistan yang kini berada di Qatar dalam kejohanan Piala Asia 2023 dan sedang dalam persiapan untuk menghadapi Qatar di peringkat suku akhir yang dijadualkan pada Sabtu.

Selangor FC menjadi kelab pertama beliau akan beraksi di luar dari negara kelahirannya. Umar berharap dengan pengalaman yang dimiliki beliau akan membantu pasukan untuk mencapai sasaran musim 2024/2025.

“Secara jujurnya, saya menyimpan hasrat untuk beraksi bersama kelab di luar negara sejak dari dulu lagi. Selangor FC merupakan kelab pertama saya memilih untuk melebarkan sayap dalam karier bola sepak setelah 12 tahun beraksi di Uzbekistan dan saya yakin dengan keputusan ini.

Umar (jersi 15) bersama skuad Uzbekistan di Piala Asia

“Saya berharap pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa, baik untuk kelab mahupun untuk pasukan kebangsaan, Uzbekistan akan membantu saya membawa Selangor FC mencapai kejayaan untuk musim ini,” katanya.

Pengalaman dan sikap kepimpinan yang ada pada Umar Eshmurodov telah menarik minat pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe untuk mengukuhkan jentera pertahanan pasukan Gergasi Merah untuk saingan Liga Malaysia dan saingan ACL2 2024-25.

ARTIKEL BERKAITAN : Tonggak pertahanan kebal Uzbekistan hampiri Selangor FC