BERTUNJANGKAN hasrat awal mahu membantu membentuk pasukan hoki lima sebelah, Wallace Tan kekal berpegang pada niat asalnya itu, lalu menolak mengambil gaji sebagai jurulatih yang membimbing pasukan muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5’s di Muscat, Oman, awal pagi semalam.
Menurut Wallace, sejak diminta membantu membentuk pasukan remaja menghadapi Sukan Olimpik Belia 2018, beliau hadir dengan niat membantu tanpa meletakkan wang tunai sebagai penggerak tulang empat keratnya.
“Ketika diumumkan ada kejohanan dan saya diminta membantu, saya tidak berfikir panjang bersetuju dan tidak kisah sangat mengenai gaji atau elaun kerana mahu membantu pasukan mengharumkan nama Malaysia.
“Saya mula membentuk pasukan sebelum menghadapi Olimpik Belia dan mereka memenangi pingat emas.
“Sekarang, sebahagian daripada pasukan yang menang emas Olimpik Belia berada dalam skuad yang muncul naib juara Piala Dunia 5s,” kata Wallace, ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sebelum ini, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berkongsi cerita mengenai pelbagai kekurangan diharungi skuad lima sebelah negara termasuk Wallace tidak mengambil gaji dan hanya menerima elaun makan, namun tetap berjaya mencipta kejayaan gemilang pada penganjuran sulung Piala Dunia itu.
Malah, Presiden KHM mendedahkan pemain menerima elaun latihan yang rendah dan tidak pernah merungut, biarpun ketika mereka meminta kasut baharu namun tidak ditunaikan.
Di sebalik segala kekurangan yang dihadapi termasuk dari segi dana buat pasukan, kapten skuad hoki 5 sebelah, Mohamad Akhimullah Anuar Esook berkongsi isi hatinya, bahawa kekurangan itu bukan alasan untuk dia dan rakan sepasukan tidak menampilkan persembahan terbaik demi mengharumkan nama Malaysia.
Akhimullah yang menjadi antara watak penting membantu skuad negara muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman, memberitahu bahawa mereka dididik untuk bermain demi maruah negara.
“Kami memang sudah dididik dan diajar untuk bermain demi maruah negara. Dari segi elaun dan dana semua… bukan kami tidak ambil kisah tetapi kami tolak ketepi dulu perkara itu.
“Apa yang paling penting adalah kami buat persiapan terbaik dalam latihan dan fokus sepenuhnya dalam setiap perlawanan yang kami harungi,” kata Akhimullah yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Dunia Hoki 5s edisi sulung kali ini.