SELEPAS empat tahun tidak dianjurkan, Piala Sultan Selangor kembali dan dijangka akan mengembalikan semula nostalgia atmosfera bola sepak Malaysia di tahun 70an.
Untuk mendapatkan atmosfera sebegitu, pihak penganjur menyeru kehadiran 20,000 penyokong untuk menyaksikan pertembungan klasik itu.
Dengan sejarah perseteruan antara Selangor dan Singapura bakal kembali pada 17 Ogos 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pihak penganjur melakukan pemeriksaan berkala dan sentiasa melawat kawasan bagi memudahkan pergerakan penyokong ke stadium.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Abdul Karim Munisar bersama Kumpulan Prasarana dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mahu para penyokong menggunakan pengangkutan rel sebagai akses ke Stadium Merdeka bagi memudahkan pergerakan.
Stadium Merdeka dikelilingi empat stesen rel kelolaan Prasarana ‐ Stesen Maharajalela, Merdeka, Pasar Seni serta Hang Tuah yang akan mampu menampung ribuan penyokong yang dijangka hadir memeriahkan perlawanan klasik ini.
“Kami menasihatkan para penyokong untuk menggunakan pengangkutan rel untuk hadir ke stadium dengan tiga pagar dikhaskan untuk penyokong Selangor manakala satu pagar dikhususkan untuk penyokong Singapura.
“Stesen Maharajalela adalah yang paling hampir dengan pintu masuk utama tetapi ada beberapa stesen lagi yang boleh digunakan bergantung kepada pintu pagar yang bakal digunakan penyokong.
“Kapasiti stadium ini adalah 20,000 dan kami menjangkakan stadium akan penuh dan atas sebab itu kami juga ada menyediakan skrin gergasi di kawasan luar untuk para penyokong turut sama mengikuti perlawanan secara langsung selain pelbagai lagi acara yang sudah dirancang,” katanya kepada media.
Ini adalah acara pertama yang diadakan di Stadium Merdeka selepas sekian lama dan ianya akan dipenuhi pelbagai aktiviti menarik termasuk pertunjukan bunga api, acara payung terjun dan Polis DiRaja Malaysia serta persembahan Raja Pop, Jamal Abdillah dan pelbagai lagi aktiviti yang akan diumumkan.