EPISOD duka dua kali tersingkir di pusingan kedua beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sebelum ini dilupakan apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir.

Bagaikan bangkit dari lamunan, aksi di Bangkok diharungi dengan cemerlang dalam gandingan terbabit yang memburu gelaran pertama musim ini, di kejohanan Thailand Masters.

Tang Jie-Ee Wei yang memburu slot ke Sukan Olimpik buat kali pertama, berjaya membalas dendam dek kekalahan kepada Horoki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun, yang menewaskan mereka di pusingan kedua Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Pada saingan separuh akhir di Stadium Nimibutr, Bangkok sebentar tadi, gandingan negara itu menang 21-11, 21-17 ke atas Midorikawa-Saito dalam aksi 33 minit.

Final Thailand Masters menjadi medan terbaik buat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan kepada jurulatih bahawa mereka masih ada kemahuan tinggi untuk berjaya.

Kemenangan itu membawa mereka kepada pertemuan menentang pilihan utama yang juga pemain tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, yang ke final dengan mengalahkan pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-17, 21-14.

Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei yang juga pilihan kedua kejohanan, hanya menang sekali sahaja ketika bertemu pasangan Thailand itu dalam lima pertemuan sebelum ini.

Kemenangan itu dicatatkan ketika di suku akhir Terbuka Arctic tahun lalu yang menyaksikan mereka menang straight set 21-14, 21-17.

Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand bukan lawan yang mudah untuk ditangani, apa lagi beraksi di Bangkok.

Kemenangan Tang Jie-Ee Wei ke atas Midorikawa-Saito itu amat penting berikutan gandingan Jepun itu berada di kedudukan ke-10 perlumbaan mata kelayakan Olimpik Paris, satu tangga di belakang pasangan negara, kesembilan.

Tang Jie-Ee Wei disasarkan untuk sekurang-kurangnya berada di kedudukan kelapan sejurus tempoh kelayakan berakhir, bagi memastikan mereka mendapat status sebagai pilihan di Temasya Paris 2024 nanti.

Jika berjaya muncul juara pada Ahad, pasti mengukuhkan lagi kedudukan Tang Jie-Ee Wei untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024.

Jika berjaya mnuncul juara, Thailand Masters bakal menjadi gelaran Jelajah Dunia BWF ketiga buat mereka menggondol trofi Orleans Masters serta Terbuka Taiwan tahun lalu.