BEBERAPA kelab penyokong di laman sosial Perak FC mengambil inisiatif untuk membantu menghulurkan sumbangan derma bagi mengurangkan beban dialami para pemain selepas isu tunggakan gaji yang belum menemui titik noktah.

Malah, krisis yang berlanjutan itu memberi padah apabila Perak FC dipotong enam mata oleh badan bebas, First Instance Body (FIB) pada Jumaat.

Ini bermakna, pasukan bimbingan Yusri Che Lah itu harus menyelesaikan dua perlawanan dengan kemenangan akan datang sebelum kembali mendapat mata dalam Liga Premier.

Tinjauan Flash Sukan di laman sosial dapati semangat peminat tidak luntur apabila sedia berkorban wang dan ringgit bagi membantu pemain yang dihimpit masalah gaji.

Apatah lagi dengan bulan Syawal yang bakal menjelma, sudah tentu banyak komitmen dan tanggungjawab ingin dilunasi para pemain.

Menurut Setiausaha Kehormat PERAK TBG MOBs, Hakimi Halim gerakan besar-besaran telah dibuat oleh semua admin dan kelab penyokong Perak FC.

Pihaknya menjelaskan jika semua penyokong menyumbang mereka boleh menyelamatkan pasukan dan tidak kepada Impact Media & Communication (IMC) atau Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“Sebulan sumbangan RM4 atau ikut mampu kome (anda) untuk Perak FC dari penyokong.. Kita ada dalam 80,000 penyokong. Kita yang kawal, kita yang jaga semua duit ini untuk staf dan pemain.

“Siapa yang sayang boleh bantu, tak boleh harap dah pada siapa melainkan kita sebagai penyokong,” katanya kepada Flash Sukan pada Sabtu.

Dalam laporan media, pihak pengurusan Perak FC belum membuat pembayaran atau persetujuan penyelesaian bersama untuk penangguhan pembayaran gaji tertunggak pemain dan pegawai Perak FC tahun 2022.

“Kempen kita gerakkan adalah sumbangan seminggu RM1, sebulan RM4. Tidak banyak kami minta tetapi ia akan meringankan para pemain. Sumbangan ini kami akan salurkan terus kepada geran Malaysian Football League (MFL) untuk diserahkan kembali dalam bentuk gaji kepada pemain Perak FC,” ujarnya lagi.

Segala sumbangan boleh dihulurkan terus ke nombor akaun CIMB TBG MOBS ; 8602530260.

Sementara itu, ahli keluarga terdekat pemain turut menyuarakan keluhan apabila anaknya yang bermain bersama pasukan Perak FC didakwa tidak dibayar gaji selama enam bulan.

“Gaji xxxx (nama tidak didedahkan) dah dekat enam bulan Perak FC tak beri. Akak pun dah berhabis untuk dia kat sana. Kasihan dia dengan pasukan, bulan puasa nak makan pun susah,” luah ibu pemain di laman sosial.