HANYA dua pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan ke saingan empat penjuru di Indonesia iaitu skuad Harimau Muda Bawah 23 tahun (B-23) dan pasukan tuan rumah sendiri, Indonesia.

Perkara ini telah disahkan sendiri oleh pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menyatakan bahawa pihaknya masih dalam perbincangan dan masih belum ada sebarang keputusan muktamad daripada pengurusan Indonesia.

“Setakat ini, hanya Malaysia dan Indonesia sahaja yang sah untuk beraksi dalam kejohanan empat penjuru tersebut.

“Masih belum ada keputusan yang muktamad daripada Indonesia mengenai pasukan lain yang akan bersama untuk menyertai saingan.

“Insya Allah, saya berharap mungkin keputusan sepenuhnya akan diberi pada minggu hadapan,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Terdahulu, portal ini memberi jangkaan bahawa terdapat dua negara lain yang bakal menghangatkan saingan empat penjuru selain Malaysia dan Indonesia iaitu Arab Saudi dan Tajikistan.

Artikel Berkaitan: Piala Asia B-23 : Harimau Muda sertai kejohanan empat penjuru di Indonesia Mac depan

Namun, hal itu telah disangkal kerana keputusan rasmi masih belum diterima daripada pengurus skuad B-23 sendiri.

Dalam masa yang sama, skuad kendalian Juan Torres Garrido setuju untuk menyertai saingan empat penjuru itu sebagai persiapan untuk melangkah ke Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada 15 April hingga 3 Mei 2024.

Harimau Muda bakal berdepan dengan cabaran hebat dalam Kumpulan D seperti Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.