JENDELA saingan bola sepak musim 2024/2025 semakin hampir membuka tirainya iaitu pada Mei depan.
Oleh itu, Perak FC tidak lagi ketinggalan untuk terus menguatkan pasukannya dengan menambah jentera-jentera baharu sama ada pemain import mahupun tempatan.
Tambahan baru-baru ini, laman Facebook rasmi TBG Super Fan kendalian Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin menyatakan pihaknya akan mengumumkan pemain baharu pada 17 Februari akan datang sekali gus melancarkan jersi baharu Perak FC.
Pasti menjadi tanda tanya dan rasa berkobar-kobar dalam kalangan peminat skuad kendalian Yusri Che Lah untuk melihat wajah baharu yang bakal memberi saingan bersama Perak pada musim ini.
Artikel Berkaitan: Ariff Ar-Rasyid, Ramadhan sertai Perak FC
Terdahulu, skuad Seladang itu telah mengumumkan empat pemain baharu termasuklah Tommy Mawat, Azfar Fikri, Ariff Ar Rasyid dan seorang penjaga gol daripada PDRM FC iaitu Ramadhan Abd Hamid.
Dijangka ramai lagi pemain baharu yang akan dibawa masuk apabila ramai juga pemain Perak FC sebelum ini yang sudah tamat kontrak dan berpisah secara rasmi dengan pasukan itu.
Antara pemain yang sudah tidak lagi bersama Perak FC adalah Hakimi Mat Isa, Hafizal Alias, Azeem Farhan, T.Shaheeswaran dan 13 pemain yang lain.