PASUKAN gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukir kegembiraan sekali gus melakar sejarah hebat apabila dinobat sebagai kelab bola sepak nombor satu di Asia Tenggara.
Perkembangan ini telah disahkan mengikut laman analisis data sukan, Opta Analyst yang telah mencatatkan kedudukan skuad Harimau Selatan itu di tangga ke-319 dunia dan ke-16 Asia.
Tidak ketinggalan, laman Facebook rasmi JDT juga membuat satu hantaran yang melihatkan keterujaan terhadap kejayaan kelab itu.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada di ranking ke-319 dunia, ke-16 di Asia dan pertama di Asia Tenggara berdasarkan data yang dikeluarkan laman Opta Power Ranking pada 2 Februari.
“Laman analisis bola sepak ini menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia. Tidak ada pasukan lain dari Malaysia berada dalam senarai Top 1,000 dengan pasukan Liga Malaysia lain berada di tangga 1,499 dan ke bawah,” menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Facebook rasmi JDT.
Pasukan yang berada di bawah naungan Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap Pemangku Sultan Johor (PSJ) turut mengejutkan ramai pihak apabila ranking Asia mereka telah mencantas kekuatan kelab-kelab besar lain seperti kelab dari Korea Selatan, FC Seoul dan Urawa Red Diamonds dari Jepun.
Sementara itu, pasukan nombor satu di Liga Malaysia (JDT) turut merekodkan kedudukan ke-319 dunia manakala pasukan kedua di Liga Super (Selangor FC) berada ditempat ke-1499 dunia.
Saingan bola sepak musim 2024/2025 pastinya menjadi satu taruhan lagi buat pasukan JDT untuk terus melebarkan sayapnya sama ada di kancah bola sepak tempatan mahupun dunia.
Artikel Berkaitan: JDT kini 16 terbaik kelab Asia, tarik minat media Sepanyol