PEMAIN sayap Iran, Mohammad Mohebbi memuji peranan yang dimainkan Mehdi Taremi ketika menyingkirkan Jepun dalam perlawanan suku akhir Piala Asia AFC pada Sabtu.

Mohebbi yang berusia 26 tahun menggantikan Taremi dalam kesebelasan utama, menjaringkan gol penyamaan yang mencetuskan kemenangan kembali Iran di Stadium Education City, dengan pemain FC Rostov iyu tidak sabar-sabar untuk berkongsi bagaimana rakan sepasukannya memotivasikannya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mehdi Taremi, yang bukan sahaja antara yang terbaik di Iran tetapi antara yang terbaik di Asia,” kata Mohebbi.

“Dia bercakap dengan saya selama kira-kira setengah jam kerana dia mahu membantu menonjolkan kualiti terbaik saya. Ini menunjukkan kesatuan yang kita ada dalam pasukan kebangsaan ini.

“Terima kasih khas kepada (ketua jurulatih) Amir (Ghalenoei) dan kakitangan kerana memberi keyakinan dan kepercayaan kepada saya. Juga pasukan perubatan dan tukang urut untuk pemulihan yang membolehkan kami melakukan ini dengan baik selepas masa yang singkat dari kemenangan ke atas Syria.”

Image

Mohebbi muncul dari bangku simpanan dalam empat perlawanan awal Iran tetapi kad merah Taremi menentang Syria bermakna permulaan buatnya menentang juara empat kali Jepun.

Golnya pada minit ke-55, hasil hantaran bijak Sardar Azmoun, bukan sahaja penting untuk perlawanan tetapi juga kerana ia adalah gol pertama Iran menentang Jepun di Piala Asia AFC, dalam empat pertemuan sebelumnya kejohanan peringkat benua itu.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan dan persembahan. Perlawanan ini menyerlahkan kualiti tinggi dalam bola sepak Asia. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya, semua orang di stadium dan semua orang di rumah.

“Semoga kami dapat meneruskan prestasi ini untuk menjadi juara Asia supaya kami boleh membuat semua peminat Iran bangga dan gembira.

Iran akan menentang tuan rumah yang juga juara bertahan, Qatar pada separuh akhir di  Stadium Al Thumama  pada Rabu.