MENJADI tanda tanya dan perbualan di kalangan peminat-peminat bola sepak tempatan apabila satu video yang dimuat naik oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) seolah-olah memberi bayangan bahawa Dion Cools bakal menyertai pasukan itu.
Video yang dimaksudkan adalah mengenai pengumuman rasmi tonggak utama Harimau Selatan, Fernando Forestieri yang akan kembali beraksi dalam saingan bola sepak musim 2024/2025 bersama JDT apabila sebelum ini pernah dimaklumkan bahawa dirinya tidak lagi bersama pasukan gergasi tersebut.
Namun, terdapat satu momen yang mencuri tumpuan pengikut-pengikut di Instagram ketika suis penghawa dingin telah memaparkan tulisan ‘Cool’ beserta nombor 21.
Untuk mengulas secara ringkas, perkara tersebut telah mencetuskan spekulasi yang menyatakan, benarkah Dion Cools akan menyertai skuad Harimau Selatan itu?
Hal ini boleh dikatkan dengan nombor 21 di suis penghawa dingin iaitu Dion Cools turut memakai jersi 21 bersama skuad Harimau Malaya.
Tambahan pula, satu kenyataan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) di ruangan komen tersebut juga boleh menjadi ‘bayangan’ daripada persoalan tadi.
“JDT sudah tandatangani tiga pemain import baharu, seorang dipinjamkan dan dua lagi sampai pada bulan Jun,” ujar TMJ di ruangan komen hantaran tersebut.
Apabila TMJ menyebut pemain baharu akan tiba pada bulan Jun, FLASH SUKAN semakan mendapati bahawa Dion Cools akan tamat kontrak bersama pasukannya, Buriram United pada akhir bulan Jun.
Namun, segalanya sekadar tanda tanya yang perlu dinantikan jawapannya sendiri oleh kelab yang dianggap sebagai ‘underdog’ pada musim ini.
Untuk rekod, Dion Cools telah menjadi perhatian ramai apabila dirinya beraksi dengan cemerlang bersama skuad kebangsaan, Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 dan juga kelayakan Piala Dunia 2026.
Cools berjaya mencetak dua gol ketika dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dan Kyrgyztan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu.