BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, terus mendapat perhatian khusus daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM), apabila dua bekas pemain kebangsaan Indonesia, Ade Yusuf Santoso dan Gerardo Rizqullah Hafidz dibawa masuk sebagai rakan sparring mereka.
Ade, 30, dan Gerardo, 21, memulakan tugas sebagai rakan sparring Pearly-Thinaah sejak semalam (Isnin) dan akan terus membantu gandingan itu memperbaiki prestasi dalam tempoh kira-kira sebulan sehingga awal Mac.
Pengarah kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berkata, keputusan mengambil dua bekas pemain kebangsaan Indonesia itu sudah lama dibuat dan dipersetujui jawatankuasa Road to Gold (RTG), sebagai persiapan beregu wanita negara menghadapi kelayakan Olimpik Paris.
“Ade dan Gerardo sudah memulakan tugas pada Isnin sehingga awal Mac. Apabila tugas mereka berakhir, mereka akan pulang dan dua lagi bekas pemain Indonesia akan kembali sebagai rakan sparring menggantikan mereka.
“Saya bukan tidak mahu mereka (Pearly-Thinaah) berlatih dengan beregu wanita yang lain, tapi seperti media tahu, jurang antara Pearly-Thinaah dan pemain-pemain lain itu jauh.
“Malah kita juga tidak mahu guna pemain backup atau remaja seperti mana sebelum ini untuk dijadikan rakan sepelatih sebab mereka juga ada tugas masing-masing yang memerlukan mereka untuk fokus.
“Jadi saya berikan satu idea untuk bawak bekas player Indonesia untuk jadi rakan sepelatih dan mereka ini juga umur masih okay cumanya mereka tidak lagi bersama skuad kebangsaan. Jadi mereka telah bersetuju untuk jadi rakan sepelatih dan harap kita boleh menaikkan lagi prestasi Pearly dan Thinaah,” kata Rexy, ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di ABM, pada Selasa.
Ade pernah bermain dalam kategori beregu lelaki pernah menghuni tangga ke-16 dunia bersama Wahyu Nayaka pada 2015, yang turut menyaksikan mereka menewaskan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di final Terbuka Thailand 2015, sekali gus muncul juara kejohanan terbabit.
Kali terakhir Ade beraksi di kejohanan antarabangsa adalah pada tahun lalu, di Bergamot KL Masterus Malaysia super, pada November 2023.
Sementara Gerardo pula, kali terakhir mewakili Indonesia pada Kejohanan Antarabangsa Malaysia, November 2022.
Sejak tahun lalu, Rexy menyuarakan mahu Pearly dan Thinaah menjalani latihan bersama pemain lelaki, bagi meningkatkan kualiti latihan sekali gus menaikkan tahap prestasi lebih tinggi untuk menghadapi saingan Olimpik.
Mengemaskini persiapan skuad negara menghadapi kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan bermula 13 hingga 18 Februari ini, beliau berkata, semua pemain sudah melaporkan diri bagi menyertai kem latihan di ABM kecuali pemain Perseorangan profesional Lee Zii Jia.
Rexy turut berkongsi, satu perlawanan simnulasi tertutup antara pemain kebangsaan dan pemain yang beraksi di BATC, akan dianjurkan di ABM minggu ini.